30 November 2019

Review Filem : Paskal The Movie (2018)



Filem: Paskal The Movie
Penilaian: 8.5/10
Pengarah: Adrian Teh 
Genre: Aksi & Patriotik
Pelakon: Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah,
Hafizul Kamal, Theebaan G, Jasmine Suraya Chin, Amerul Affendi
Tarikh Tayangan: 27 September 2018
Produksi: Asia Tropical Films Sdn Bh




Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Leftenan Komander Arman Anwar, seorang anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) iaitu pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia. Namun ibunya tidak merestui pekerjaannya kerana ayahnya juga seorang ahli PASKAL yang telah terkorban semasa menjalankan tugas. Apabila rakan sepasukannya terkorban dan seorang lagi diberhentikan, Arman membuat keputusan untuk berhenti. Namun, dia terhimpit dengan misi terakhir yang perlu diselesaikan. Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda. 



Ulasan:
Selepas ini kemungkinan besar filem Paskal akan turut mengisi slot di saluran televisyen tempatan pada tahun-tahun akan datang tambah-tambah sewaktu tibanya Hari Merdeka atau Hari Malaysia selepas sering sering kali kita disogokkan dengan filem-filem bergenre patriotik yang lain seperti Sarjan Hassan, Bukit Kepong dan Leftenan Adnan saban tahun. Filem-filem yang disebutkan tadi sering kali diulang tayang apabila tibanya hari-hari bersejarah negara dan ramai dari kalangan anda sendiri juga sering bersungut inginkan filem-filem tempatan bersifat patriotik dihasilkan oleh syarikat produksi tempatan. Pengarah filem ini, Adrian Teh yang sebelum ini pernah menerbitkan filem Ice Kacang Puppy Love pada tahun 2010 yang merupakan sebuah filem bahasa Mandarin tempatan pertama yang berjaya menembusi pasaran luar negara seperti China sekali lagi berjaya membuktikan magisnya di dalam menghasilkan filem Paskal The Movie dan sekaligus menghilangkan kehausan para peminat filem tempatan yang mendambakan filem aksi berjiwa patriotik seperti Paskal ini.

Filem ini pasti akan membuatkan anda puas menyaksikan watak protagonis, antagonis dan tritagonis yang berjaya memberikan sepenuh penghayatan, emosi, gerak tubuh dan reaksi wajah yang cukup hebat. Watak protagonis Arman berjaya dipersembahkan dengan cukup baik sekali oleh Hairul Azreen yang pasti bakal membuatkan anda terpesona dan percaya bahawa apa yang anda tonton di layar itu ialah Arman dan bukannya Hairul. Susuk tubuhnya yang sasa dan sangat cantik begitu menghidupkan sisi maskulin watak Arman tersebut. Tidak dilupakan juga dengan watak Jeb iaitu watak antagonis yang bijak dibawa oleh pelakon Ammar Alfian dengan gayanya tersendiri yang jelas sekali kelihatan seolah-olah itu adalah keperibadiannya yang asli. Anda pasti akan menyumpah melihat sisi angkuh watak ini. Hairul dan Ammar berjaya memberikan kombinasi dan persefahaman yang menarik kepada watak-watak mereka sekaligus memberikan kekuatan kepada naratif filem ini untuk bertahan dengan aura positif selama 115 minit tanpa gagal. 


Menariknya filem Paskal ini kerana ia berjaya mengangkat kisah benar yang membuatkan anda bakal teruja bermula pada pengenalan awal filem ini lagi iaitu kisah Ops Fajar berkenaan pasukan Paskal yang terlibat di dalam merampas semula kapal dagang MT Bunga Laurel daripada serangan lanun Somalia yang berlaku di Teluk Aden pada tahun 2011. Selain itu juga paparan terhadap misi hebat anggota Paskal yang terlibat di dalam Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Angola pada tahun 1998 pasti bakal membuatkan jiwa anda tersentuh dan silap-silap boleh membuatkan air mata anda bercucuran gugur melihatkan babak-babak yang menyedihkan itu. Jika anda tidak percaya atau masih ragu-ragu, sila tonton dan hayati kisah-kisah yang wujud di dalam filem Paskal ini. Nescaya anda mampu mengubah tanggapan anda terhadap filem tempatan selepas ini. 

Selamat Datang Ke Laman Sesawang Team J-Born

J-Born Movies Review ditubuhkan pada 20 Julai 2019. Kami menilai dan menganalisis Filem-Filem dan "Trailer" Filem yang akan ditayangkan untuk penilaian pihak anda.

Kami menilai atau dengan lebih mudah men"review"  dalam keadaan santai yang sesuai untuk tontonan semua lapisan masyarakat.

Lambakan filem-filem baru tak kira dari dalam mahupun luar negara banyak mempengaruhi minda-minda kita selaku penonton, samada dari segi emosi, jasmani dan juga rohani.

Kami harap anda semua akan terhibur disamping sedikit sebanyak mendapat maklumat tentang filem-filem yang kami review