02 December 2019

Review Filem : IT Chapter Two (2019)


Filem: IT: Chapter Two
Penilaian: 8/10
Pengarah: Andy Muschietti
Genre: Seram
Pelakon: James McAvoy, Jessica Chastain, Jay Ryan, Bill Hader, 
Isaiah Mustafa, James Ransone, Andy Bean, Bill Skarsgård & Etc.
Tarikh Tayangan: 5 September 2019
Pengedar:Warner Bros. Pictures

Sinopsis:

Filem ini merupakan kesinambungan dari filem pertama yang mana ia merupakan kisah setelah 27 tahun kejadian pada musim panas 1989 berlaku. The Losers` Club sudah dewasa dan berpindah jauh sehinggalah menerima satu panggilan telefon yang memaksa mereka pulang ke Derry, Maine, apabila musuh utama mereka iaitu It kembali. Mereka bersatu semula bagi menunaikan janji zaman kanak-kanak mereka untuk memusnahkan It buat selama-lamanya. Tetapi, makhluk itu kembali dengan lebih kuat dan menanti ketibaan mereka untuk membalas dendam.

Filem IT: Chapter Two kali ini menampilkan kisah Penny Wise yang kembali semula selepas 27 tahun ditewaskan oleh sekumpulan anak muda yang menamakan kumpulan mereka sebagai Losers Club. Bahagian pertama dihabiskan dengan pengenalan kembali watak-watak utama filem ini iaitu Bill, Beverly, Richie, Mike, Ben, Eddie dan Stanley melalui babak imbas kembali serta memori yang cuba mereka ingati semula dimana momentum penceritaannya berada pada paras yang sederhana namun pada kami ia sangat membantu untuk lebih memahami tentang peranan serta perkembangan watak itu sendiri untuk penceritaan filem kali ini. Kami melihat para pelakon utama filem ini berjaya membina keserasian yang baik dimana elemen humor turut membantu meredakan ketegangan penonton terhadap beberapa adegan yang menyeramkan atau penuh dengan kejutan. Pada kami, nilai humor yang ada di dalam filem ini berjaya berfungsi dengan baik terutama melalui watak Ritchie dan Eddie yang berjaya membuatkan kami mampu ketawa walaupun di dalam babak yang mencemaskan.

Tidak dinafikan filem IT: Chapter Two kali ini menawarkan sejenis ketakutan yang berpaksikan kepada perasaan fobia wataknya melalui halusinasi dimana ia banyak bergantung kepada teknik janaan imej CGI di dalam hampir kebanyakan adegan. Ada beberapa babak yang berjaya memberi impak yang hebat kepada kami seperti adegan menarik di sebuah restoran Cina, gerak-geri watak nenek tua yang sangat menyeramkan melalui reaksi wajah serta pergerakan tubuh badannya yang menakutkan serta beberapa adegan lain yang bijak bermain dengan pengcahayaan yang suram serta skor bunyi yang menarik untuk memastikan anda sentiasa perlu bersiap sedia untuk menghadapi adegan-adegan seram yang penuh dengan kejutan ini. Pujian harus diberikan kepada watak Pennywise yang pada kami merupakan salah seorang bintang utama filem ini yang menyinar dengan cukup baik. Tidak dinafikan watak ini sememangnya mendapat bantuan menyeluruh sama ada dari sudut teknikal, solekan mahu pun sinematografi namun pada kami kemunculannya sentiasa berjaya memberikan sesuatu kejutan yang menarik perhatian dan adakalanya berjaya menimbulkan sisi ngeri serta ketakutan buat sesiapa yang menonton karakter ini. Ianya menjadi bertambah menarik apabila kami menonton di dalam pawagam 4DX dimana adegan-adegan ini terasa lebih dekat dengan kami apabila dapat merasai sendiri gegaran, kelajuan, angin serta tempias air seperti mana yang terdapat pada babak-babak di dalam filem ini. Walaupun tidak semua imej CGI filem ini yang berjaya membuatkan anda terasa ngeri namun aspek bantuan tambahan daripada pawagam 4DX betul-betul membantu untuk membeir nilai tambah kepada filem ini. Serius sangat berbaloi menonton di dalam versi 4DX. 

Secara keseluruhannya, momentum filem ini walaupun agak perlahan pada bahagian pertama filem ini serta wujud beberapa babak yang tidak perlu serta kurang diberi penekanan sehingga menyebabkan kelompongan plot pada awalnya, namun kami merasakan filem IT: Chapter Two mempunyai sesuatu yang kuat dari sudut penceritaan serta perkembangan wataknya walaupun adakalanya ia kelihatan sedikit meleret. Namun, filem ini pada kami cukup rencah rasanya dimana segala-galanya masih mampu menyatu dengan baik untuk membuatkan kami terhibur sepanjang menonton filem ini sebentar tadi. Satu karya penutup yang pada kami tidak mengecewakan dan berbaloi menghabiskan masa yang lama untuk menonton filem ini di pawagam. Kami pasti akan merindui kelibat Penny Wise selepas ini!